Kamis, 23 Agustus 2012

APABILA SANGKAKALA DITIUP

APABILA SANGKAKALA DITIUP

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala
(bentuknya seperti tanduk besar) yang
memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali
Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu,
Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal
dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun
berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah

kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu
Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya
“Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha
Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran &
keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi
Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan,
seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2,
lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi
putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang
Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti
bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam
yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung
tulang belakang mereka. Hiduplah manusia
umpama anak pokok yang kembang membesar
dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam
keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu
kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan
bimbang tentang nasib & masa depan yang akan
mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan
bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin
dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan
(bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang
kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan
anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia
sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari
dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka
tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah
huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi
yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil
bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk
terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan
suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan
kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan
seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas
kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di
bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat
nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau
hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka
rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga
peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau
tenggelam mereka bergantung pada amalan
masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan
sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi
Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang
mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh
orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan
dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika
diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya.
Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu
bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan
rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai
saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari
yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat
teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan
berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia
menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi
(tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah
lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di
padang mahsyar, semua manusia tidak tahu
berbuat apa melainkan mereka yang beriman,
kemudian mereka terdengar suara “pergilah
berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun
pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan
manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi
usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s
menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan
dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu
kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi
Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s.
(semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam
a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah
SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang
lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW
ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa
baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang
yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk
kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu
terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul
oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya
sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih
dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu
tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar
berbentuk kubah (bumbung bulat) yang
mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul
oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam
bahasa mudah ia seumpama istana yang
mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan
malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang
menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan
Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat
besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama
cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia
umpama singgahsana yang terletak dihadapan
istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala
kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal.
Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-
masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher
pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia
sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab
amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah /
Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan
pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik
beratur bersama pemimpin mereka yang zalim.
Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk
dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat
Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama
kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang
pertama kali diputuskan adalah perkara
pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab
amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka
lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan
tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan
tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka
menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya
amat besar, mempunyai satu tiang yang
mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang
bercahaya untuk menimbang pahala dan yang
gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW
dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan
pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika
dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya
tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan
ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri,
tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi.
Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di
adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar
dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak
masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara
sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan
dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang
Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa
hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman
sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah
SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga
diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat
kepada para pengikut mereka. Mereka ini
berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka
akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula
berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.
Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang
terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini
adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh
dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang
mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan
menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat
memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik,
5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.
Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat,
seperti angin, menunggang binatang korban dan
berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki
mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat
mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000
orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja
yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan
terjatuh ke dalam neraka.
-------------------------------------

Tidak ada komentar:

Posting Komentar